Najib berkata, apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin dan anggota Umno terpaksa berhadapan dengan politik dalaman dan sering berbalah menyebabkan banyak puak wujud dalam bahagian.
Najib berkata, beliau masih khuatir Umno akan gagal memenangi kembali kerusi dan negeri yang tewas pada pilihan raya lalu jika masalah dalaman di bahagian masih berterusan.
“Saya tak lena tidur jika tahu ada puak-puak dalam bahagian. Semua anggota Umno perlu kembali kepada asas-asas perjuangan dan kembali kepada perjuangan pemimpin Umno terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, anggota Umno perlu menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu sebagai iktibar dan menjadikan peristiwa lalu sebagai pengajaran.
“Jika tidak mimpi ngeri itu akan berulang. Ia akan menjadi satu igauan jika Umno gagal untuk berkuasa. Perjuangan kita jangan hanya berkisar kepada jawatan dalam parti. Kalau ada harta gunakan harta untuk membela rakyat,” katanya.
Beliau berkata, jasa Umno bukan hanya kepada orang-orang Melayu tetapi kepada bukan Melayu dan ini sudah terbukti sejak lebih 60 tahun yang lalu menerusi kerjasama Umno dengan parti kaum lain. - Bernama
No comments:
Post a Comment